PERSEKUTUAN SOKONG PEMBINAAN E-ART JOHOR BAHRU
![](https://mediadigitaljohor.gov.my/v1/wp-content/uploads/2025/02/6154622070437299617.jpg)
YB Tuan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan semasa sidang media majlis menandatangani perjanjian antara MRT Corp dan Sunway Group. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju untuk membangunkan sistem pengangkutan Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) di bandar raya Johor Bahru bagi menyokong perkhidmatan Sistem Rapid Transit (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.
Perancangan mengenai pembinaan sistem E-ART sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada Disember lalu, manakala Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) pula akan mengeluarkan Notis Pelawaan Cadangan (RFP) bagi pelaksanaan projek berkenaan dalam masa terdekat.
Pembinaan E-ART seperti dihasratkan Kerajaan Johor mendapat sokongan penuh Kerajaan Persekutuan kerana boleh dibangunkan dengan lebih cepat berbanding Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) selain infrastrukturnya yang lebih fleksibel kerana melibatkan rel dan laluan bas.
Strategi kerjasama antara sektor awam dan swasta akan diguna pakai untuk melaksanakan projek berimpak tinggi tersebut sekali gus dapat merealisasikan pembangunan E-ART dalam tempoh lebih singkat.
Sementara itu, sebahagian besar pembinaan infrastruktur rel sistem RTS Link Johor Bahru-Singapura telah berjaya disiapkan pada 31 Januari lalu, termasuk penyiapan penuh kerja-kerja bagi Kategori Tahap 1.
Pengoperasian RTS Link Johor Bahru- Singapura merangkumi jarak 2.7 kilometer (km) di Malaysia dan 1.3 km di Singapura diyakini mampu menampung kira-kira 10,000 penumpang bagi setiap perjalanan seterusnya mengurangkan pergerakan kenderaan persendirian serta mengatasi kesesakan di Tambak Johor.
#RTSLink
#TheGreaterJB
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor