56 SEKOLAH DIPILIH SEKOLAH RINTIS SKUAD MUDA SV


Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penubuhan Skuad Muda Southern Volunteers (SV). | Foto ihsan Facebook Hairi Md Shah

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 56 sekolah di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terpilih sebagai sekolah rintis program Skuad Muda Southern Volunteers (SV) bagi fasa pertama.

 

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, fasa itu melibatkan kira-kira 50,400 pelajar.

 

Menurutnya, penglibatan lebih banyak sekolah dan pelajar akan diteruskan untuk fasa berikutnya dari masa ke semasa.

 

“Menjunjung Titah DYAM Tunku Mahkota Johor untuk memperluas sayap SV ke peringkat sekolah-sekolah di seluruh Negeri Johor agar SV menjadi budaya dalam aktiviti kesukarelaan yang beridentiti belia bangsa Johor.

 

“Justeru itu, saya selaku EXCO Belia dan Sukan Negeri Johor bersama EXCO Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor dengan sokongan YAB Menteri Besar Johor akan berusaha untuk memastikan hasrat DYAM Tunku Mahkota Johor dapat direalisasikan ke arah memperkasa peranan Southern Volunteers di peringkat sekolah,” katanya menerusi Facebook rasminya, semalam.

 

Mohd Hairi berkata, pelaksanaan program itu bertujuan membentuk nilai murni dalam diri pelajar agar menjadi belia beridentitikan ‘belia Bangsa Johor’ yang mampu menyumbang bakti kepada masyarakat.

 

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjayakan pembentukan nilai insaniah melalui adab, akhlak dan intergriti serta membentuk kemahiran insaniah, dinamis dan sikap prihatin sesama masyarakat.

 

“Diharapkan dengan pelaksanaan program ini, peranan pelapis belia dalam bidang kesukarelaan akan dapat diperkasakan dan diperluaskan untuk membina belia Bangsa Johor yang maju dan mampu bersaing di persada antarabangsa,” katanya.

 

Beliau turut memaklumkan kesemua 56 Ahli Dewan Negeri Johor juga akan dijemput menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penyelarasan SV Prihatin dijangka pada hujung bulan ini.

 

“Saya mahukan keterlibatan bersama semua Wakil Rakyat dalam menjayakan usaha memperluaskan pendedahan kepada semangat kesukarelaan ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor