PROGAM ENERGISING ‘A’ GREAT LEADER TERAP BAKAT KEPIMPINAN
BATU PAHAT — Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama Production and Operation Club (PROP C) menganjurkan Program Energising ‘A’ Great Leader di Pusat Minda Emas (PuMAS) baru-baru ini.
Program di bawah naungan Kelab Pengurusan Teknologi itu membabitkan pelajar UTHM dan Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang itu bertujuan memcungkil bakar kepimpinan dan membina keyakinan diri pelajar.
Selain itu, program selama dua hari itu bertujuan untuk melahirkan pemimpin yang cemerlang dan bijak terutama dalam penyelesaian masalah, mewujudkan semangat kerjasama, perpaduan dan patriotik dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat.
Dekan FPTP, Prof Dr Wan Fauziah Wan Yusoff, berkata pihaknya berharap program terbabit dapat membentuk mahasiswa UTHM yang mempunyai nilai kepimpinan dan integriti yang tinggi serta dapat memupuk sikap kesukarelawan.
“Keberhasilan daripada program ini diharap dapat menjadi contoh kepada pelajar lain sekali gus dapat merealisasikan hasrat UTHM untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi, profesional dan kebolehpasaran yang mampan.
“Selain itu, kita berharap ia dapat meningkatkan keyakinan diri, mampu membuat keputusan dengan tepat selain mempunyai kemahiran komunikasi yang baik,” katanya dalam laman sesawang rasmi UTHM.
Pada program itu turut membabitkan sesi teknik pengucapan awam, tips pembelajaran mahasiswa cemerlang dan pengurusan kewangan mahasiswa.
Menerusi program sama, ia secara tidak langsung turut memberi pendedahan kepada pelajar terbabit yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berkaitan suasana kehidupan di kampus.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor