PROGRAM GERAK KERJAYA BUKA PINTU REZEKI BUAT AINA


Aina Nabila Faizah, 29 yang berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai perunding Takaful selepas menghadiri temu duga terbuka di Gerak Kerjaya ‘MYFutureJobs’ di Tangkak. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

“Ini semua hasil keberkatan doa ibu saya”. Itulah antara kata-kata yang diucapkan oleh Aina Nabila Faizah, 29 yang berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai perunding Takaful selepas menghadiri temu duga terbuka di Gerak Kerjaya ‘MYFutureJobs’ di Tangkak.

 

Bakal menamatkan pengajian sarjana dalam jurusan kejuruteraan bioproses di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Aina sudah bersedia sejak tengah hari bagi menghadiri temu duga mendapatkan tempat sebagai perunding Takaful di Hong Leong MSIG Takaful yang ditawarkan dalam program bersempena Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Tangkak 2024 di Dataran Tangkak, Johor.

 

Tanpa berfikir panjang, gadis berasal dari Pagoh yang pernah berkhidmat sebagai guru ganti di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir Muar ini mengetahui iklan hebahan mengenai penganjuran program Gerak Kerjaya MYFutureJobs melalui emel yang diterima dan terus membuat keputusan untuk hadir ke sesi temu duga terbuka.

 

Anak bongsu dari 12 beradik itu kemudiannya menerima berita gembira selepas diterima bekerja dan menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) yang menyediakan platform menghubungkan pencari kerja dan majikan menerusi program seumpama itu.

 

Gerak Kerjaya MYFutureJobs Tangkak 2024 sempena siri ketujuh Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Tangkak menyaksikan sebanyak 507 jawatan kosong ditawarkan oleh 11 majikan dari pelbagai bidang dan telah dihadiri oleh seramai 169 pencari kerja daripada 598 pengunjung.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor