PROGRAM GRIT 2030 HASIL PERKEMBANGAN POSITIF


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Program GRIT 2030 melibatkan empat jenis sukan iaitu Renang, Berbasikal, Olahraga dan Karate menunjukkan perkembangan positif dari segi peningkatan jumlah ‘pool of athlete’ berdasarkan penganjuran RISEUP Games.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, sebelum ini jumlah atlet berpotensi dalam empat sukan itu tidak melebihi 500 orang.

Menurutnya, bagaimanapun, selepas program jangka masa panjang itu diperkenalkan dan diberikan tumpuan, terdapat peningkatan memberangsangkan apabila penyertaan ke atas kejohanan RISEUP Games adalah 1,200 orang.

“Usaha ini adalah sebagai langkah memajukan sukan di Negeri Johor dengan memfokuskan kepada sukan tertentu disamping membantu sukan-sukan lain selain empat sukan dinyatakan,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng mengenai rancangan jangka masa panjang bagi memajukan sukan dan jenis sukan yang diberikan keutamaan oleh kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Mohd Hairi berkata, usaha kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) melaksanakan program GRIT 2030 bertujuan pelaksanaan pembangunan jurulatih dan atlet secara lebih berfokus.

Katanya, pemilihan empat jenis sukan itu memandangkan kesemuanya merupakan sukan teras dan sukan wajib dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) dengan tawaran jumlah pingat yang banyak dalam temasya dwi-tahunan tersebut.

“Hasil yang positif juga dapat dilihat pada penyertaan SUKMA 2022 yang mana sukan-sukan ini mempunyai pencapaian memberangsangkan dalam menyumbang pingat kepada kontinjen Johor.

“Hingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan sekali gus mencipta sejarah baharu sukan Negeri Johor iaitu buat pertama kalinya menjulang kejuaraan ini selepas 36 tahun penyertaan,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu kerajaan negeri menerusi MSNJ giat memperkasakan persatuan-persatuan sukan di negeri ini, dengan kaedah penggredan.

“Kaedah penggredan ini bagi menggalakkan persatuan bergiat aktif dalam pembangunan sukan, penganjuran dan tadbir urus persatuan yang lebih sistematik,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor