SAMBUTAN AMAT MENGGALAKKAN, KEHADIRAN DI LUAR JANGKAAN
ISKANDAR PUTERI — Sesi percubaan Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berlangsung di Pusat Latihan Junior JDT di Padang Mawar, semalam, menerima sambutan yang amat menggalakkan.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, Akademi JDT menjalankan beberapa sesi percubaan dalam setahun, untuk bekat-bakat yang dikenalpasti oleh barisan peninjau bakat di seluruh negara.
Menurutnya, sebelum ini, sesi percubaan hanya diadakan secara tertutup, namun dibuka kepada beberapa peringkat umur semalam.
“Walaubagaimanapun, kehadiran adalah diluar jangkaan kerana ramai yang hadir untuk mendapatkan peluang menjadi sebahagian daripada satu-satunya akademi kelab bola sepak yang profesional sepenuh masa di negara ini.
“Kami kesal kerana kami tidak dapat mengawal kehadiran luar biasa ini jika dibandingkan dengan sesi percubaan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook JOHOR Southern Tigers, di sini hari ini.
Edwards berkata, Akademi JDT akan mengadakan lebih banyak sesi percubaan selepas ini dan akan terus menghantar pencari bakat ke semua kejohanan remaja, bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara bagi memastikan tidak ada bakat yang ketinggalan.
“Akademi JDT menawarkan kepada yang terpilih latihan bola sepak profesional, pendidikan dan tempat tinggal.
“Antara pemain yang muncul dari pelatih Akademi JDT ke skuad senior termasuk Arif Aiman Hanapi, Ramadhan Saifullah, Feroz Baharudin dan K. Daryl Syam,” katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial sesi percubaan Akademi JDT yang didakwa peserta ‘disidai’ dari pagi hingga petang yang mengundang kemarahan ibu bapa dan penjaga.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor