SATU RAKAMAN SEJARAH UNTUK PKPJ – KETUA EKSEKUTIF


Ketua Eksekutifnya, Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman berkata, ekspo itu menepati objektif penganjuran bagi membantu Bangsa Johor memiliki kediaman sendiri. | Foto MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Penganjuran kali pertama Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2023 disifatkan sebagai satu rakaman sejarah kepada Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

 

Ketua Eksekutifnya, Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman berkata, ekspo itu menepati objektif penganjuran bagi membantu Bangsa Johor memiliki kediaman sendiri.

 

“Saya percaya objektif yang ditetapkan untuk menguar-uarkan mengenai tawaran produk-produk PKPJ kepada masyarakat di luar sana dan betapa mudahnya mereka untuk memiliki kediaman sendiri.

 

“Dengan penglibatan empat panel bank bersama dengan pihak Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), dimaklumkan bahawa hampir RM200 juta pembiayaan dikeluarkan.

 

“Ia adalah sesuatu yang perlu kita syukuri dan banggakan,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor pada hari terakhir JPEX 2023 di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, pada Ahad.

 

Suhailizan berkata, penganjuran JPEX bukan hanya sekadar menarik ramai pengunjung malah memberi manfaat kepada mereka dengan penyampaian surat tawaran serta kejayaan mendapatkan pembiayaan bagi memiliki rumah.

 

“Pastinya hasil kejayaan (penganjuran) ini, saya akan maklumkan kepada Kerajaan Negeri dan dari situ saya perlukan mandat untuk sama ada meneruskan ini secara acara tahunan atau perlu kita ubah suai lagi.

 

“Kerana yang penting adalah, kita perlu menyediakan produk agar mereka yang hadir ke JPEX ini mendapat apa yang mereka idamkan selama ini dan dalam masa yang sama, kita di PKPJ akan sentiasa memudahcara urusan mereka memiliki rumah,” katanya.

 

Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai kehadiran pengunjung mendapatkan khidmat nasihat dan membuat pendaftaran serta semakan di kaunter PKPJ yang disediakan sepanjang empat hari penganjuran ekspo tersebut.

 

“Itulah perkhidmatan yang saya cuba bawa iaitu begitu mudahnya berurusan dengan PKPJ di dalam mencari rumah idaman masing-masing,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor