TIGA PPS DITUTUP, MERSING KEMBALI PULIH


Sukarelawan melakukan kerja pembersihan kediaman mangsa banjir di Kampung Jomis, Sungai Rengit, dekat Pengerang.

 

ISKANDAR PUTERI — Keseluruhan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Mersing ditutup setakat jam 2 petang, membolehkan mangsa banjir di daerah tersebut pulang ke kediaman masing-masing.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, ketiga-tiga PPS itu adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching, Sekolah Kebangsaan (SK) Labong dan Dewan Orang Ramai KOA Labong.

 

Menurutnya, penutupan PPS terbabit menyaksikan kini hanya tiga daerah sahaja iaitu Batu Pahat, Segamat dan Kota Tinggi memiliki PPS yang beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir.

 

“Setelah penutupan tiga PPS di Mersing, hanya tiga daerah iaitu Batu Pahat, Segamat dan Kota Tinggi masih terdapat PPS yang dibuka untuk menempatkan mangsa banjir.

 

“Batu Pahat dengan tujuh PPS yang menempatkan 919 orang daripada 255 keluarga, Segamat pula tiga PPS menempatkan 90 orang daripada 27 keluarga dan Kota Tinggi dengan dua PPS menempatkan 97 orang daripada 23 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan selain di Mersing, dua PPS di Kota Tinggi iaitu SK Gembut dan SK Teluk Ramunia juga telah ditutup.

 

“Ia menjadikan keseluruhan lima PPS telah ditutup setakat ini. Keseluruhan jumlah mangsa banjir terkini adalah 1,106 orang daripada 305 keluarga di tiga daerah.

 

“Data ini menunjukkan berlakunya penurunan jumlah mangsa berbanding 1,373 orang daripada 378 keluarga di empat daerah dalam laporan jam 12 tengah hari tadi,” katanya.

 

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan sub-lembangan Sungai Bekok menunjukkan trend peningkatan dan kini berada pada aras Bahaya, manakala Sungai Muar di Buloh Kasap pada aras Amaran.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor