SINGGAH SAHUR DUN JOHOR LAMA SANTUNI PETUGAS BARISAN HADAPAN


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh menyantuni pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Tinggi, awal pagi ini | Sumber Foto Facebook Norliza Noh.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang berkhidmat demi masyarakat, Pejabat ADUN Johor Lama menjayakan program Singgah Sahur DUN Johor Lama awal pagi ini.

 

Program disertai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh merangkap ADUN Johor Lama bermula jam 1 pagi dan berakhir sekitar 5 pagi.

 

Antara lokasi yang disinggahi adalah Balai Polis Teluk Sengat, Balai Polis Air Tawar 2, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Hospital Kota Tinggi, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi serta asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam (PKAYI) Daerah Kota Tinggi.

 

Norlizah berkata, program itu menjadi platform buat dirinya dan pasukan DUN Johor Lama menyantuni petugas barisan hadapan Daerah Kota Tinggi.

 

Beliau juga mengambil maklum dan akan menyusul dengan tindakan mengenai keadaan semasa berek polis di Balai Polis Air Tawar 2 yang memerlukan tindakan penambahbaikan.

 

“Besar pengorbanan mereka, ketika kita tidak sabar pulang ke desa untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga, mereka perlu berkhidmat menjaga keselamatan kita di Kota Tinggi,” katanya.

 

Selain itu, Norlizah menzahirkan rasa gembira kerana dapat bersahur dengan penghuni PKAYI Daerah Kota Tinggi di lokasi terakhir program.

 

“Dapat saya mengejut anak-anak di sini pada jam 4.30 pagi untuk bersahur bersama mereka. Alhamdulillah mereka sangat bersemangat untuk meneruskan ibadah dalam bulan yang mulia ini,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor