SUDAH REZEKI, BELIA TERIMA TAWARAN KERJA


Muhammad Nazreen Rosli, 21, menerima tawaran bekerja selepas menghadiri temu duga terbuka program Gerak Kerjaya MYFutureJobs Kota Tinggi 2024. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Rezeki tidak datang bergolek, tetapi boleh datang tanpa disangka. Itulah ungkapan yang lahir dari Muhammad Nazreen Rosli, 21, apabila menerima tawaran bekerja selepas menghadiri temu duga terbuka program Gerak Kerjaya MYFutureJobs Kota Tinggi 2024.

 

Anak keempat daripada lima beradik itu sudah bersedia sejak awal pagi lagi untuk menghadiri temu duga bagi mengisi kekosongan jawatan ‘mechanical fitter’ ditawarkan Shapadu CR Asia Sdn. Bhd. dalam program bersempena Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Kota Tinggi 2024 di Dewan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

 

Pemuda berasal dari Kota Tinggi yang mengetahui iklan hebahan mengenai penganjuran program Gerak Kerjaya MYFutureJobs daripada jiran sekali gus memberanikan diri hadir ke temu duga memberitahu telah menerima tawaran tersebut dengan serta merta.

 

Muhammad Nazreen kemudiannya menerima Sijil Tawaran Pekerjaan disampaikan YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor yang diiringi oleh YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Johor kawasan Tanjung Surat.

 

Gerak Kerjaya MYFutureJobs Kota Tinggi 2024 sempena Jelajah Aspirasi Orang Muda Johor @ Kota Tinggi 2024 menyaksikan sebanyak 120 jawatan kosong ditawarkan oleh kira-kira 13 majikan dan telah dihadiri seramai 231 calon dengan 37 daripadanya berjaya diterima kerja serta merta.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor