UTHM,PAM,MBJB LAKSANA PROJEK ARCHITECTURAL HERITAGE INVENTORY 2023


Jabatan Senibina Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) baru-baru ini menganjurkan Program Architectural Heritage Inventory @ Johor Bahru / Gambar Ihsan UTHM.

 

JOHOR BAHRU — Jabatan Senibina Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) baru-baru ini menganjurkan Program Architectural Heritage Inventory @ Johor Bahru.

Program terbabit bertujuan sebagai antara usaha memelihara warisan seni bina bangunan disamping melaksanakan kerja inventori dokumentasi digital bagi bagunan warisan di sekitar kawasan bandaraya Johor Bahru.

Proses terbabit dilaksanakan menerusi teknik photogrammetry iaitu satu teknik dan kepakaran yang ditawarkan di bawah program pengajian senibina FKAAB UTHM.

Penyelaras program, Dr Azmal Sabil, berkata program yang dilaksanakan ini adalah selari dengan aspirasi Global Technopreneur University (GTU 2030) UTHM yang dilihat berpotensi besar dalam usaha memelihara warisan senibina yang masih wujud pada hari ini.

“Usaha mendokumentasi bangunan warisan ini sangat penting terutama sebagai rujukan pada masa hadapan khususnya membabitkan bangunan yang kaya dengan nilai dan kebitaraan pemikiran generasi terdahulu yang masih kukuh.

“Kepentingan mengenai usaha pemeliharaan ini wajar didedahkan dari awal terutama kepada pelajar senibina dalam melahirkan golongan arkitek masa hadapan yang lebih sensitif, peka dan bertanggungjawab memelihara warisan budaya bangsa,” katanya.

Terdahulu, kerja pengumpulan data inventoru itu dilaksanakan oleh pelajar jurusan senibina yang diseliakan oleh Pensyarah FKAAB UTHM, Dr Azmal, Nasrul Arif Ahmad Mahmud, Ts Dr Noor Dina Md Amin, Nor Azizah Adnan dan Nadiyah Noor Hisham serta Kelab Pelajar Senibina UTHM.

Hadir sama ialah Dekan FKAAB UTHM, Prof Ir Ts Dr Mohd Irwan Juki; Naib Presiden PAM yang juga Profesor Adjung Program Senibina UTHM, Prof Adj Ar Adrianta Aziz dan Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan MBJB, Masliza Samuri.

Pada majlis tersebut, wakil PAM merangkap penyelaras program, Datin Dr Nor Hayati Hussain memberi ucaptama yang bertajuk ‘Urban Heritage Under Threat’ diikuti sesi latihan oleh Dr Azmal bertajuk ‘City Campus Photogrammetry’.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor