TANGKAK DAERAH TERBARU DILANDA BANJIR


Anggota bomba membantu mangsa untuk diselamat dan ditempatkan ke PPS dalam kejadian di Pontian | Sumber Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 107 keluarga terdiri daripada 453 mangsa terjejas berikutan kejadian banjir melanda lima daerah di Negeri Johor.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam satu laporan setakat jam 2 petang tadi, memberitahu daerah yang terjejas adalah Segamat, Kulai, Kluang, Pontian dan Tangkak.

Keseluruhan, sebanyak lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka dan beroperasi di lima daerah yang terjejas bagi menempatkan kesemua mangsa banjir.

Daerah Segamat masih kekal dengan 18 keluarga melibatkan 57 mangsa dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya yang ditempatkan di tiga PPS.

Bagi daerah Kulai, PPS Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang masih beroperasi bagi menempatkan 29 keluarga terdiri 139 mangsa dari Kampung Baru Sengkang, namun PPS Dewan Raya Kampung Murni Jaya telah ditutup jam 1 petang tadi.

PPS Dewan Utama Kampung Ithnin Maarof di daerah Kluang pula menempatkan tujuh keluarga terdiri 34 mangsa dari Kampung Ithnin Maarof.

Manakala banjir daerah Pontian menyaksikan satu PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya dibuka jam 5.50 petang semalam, bagi menempatkan empat keluarga terdiri 17 mangsa dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas.

Sementara itu, daerah terbaru dilanda banjir adalah Tangkak dengan dua PPS beroperasi iaitu SK Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama Simpang 5 Darat bagi menempatkan keseluruhan 49 keluarga terdiri 206 mangsa dari Kampung Simpang 5 Darat, Kampung Parit Bunga Raya dan Kampung Parit Pulai.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor