TIGA PEGAWAI JCS TERIMA PHD, SARJANA DIRAIKAN SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR


Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani menyampaikan penghargaan kepada tiga pegawai JCS dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). | Foto MDJ Wira Anggara

 

Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) dan seluruh anggota perkhidmatan awam negeri disaran melakukan ‘penjenamaan semula’ diri untuk kekal relevan dalam perkhidmatan serta menampilkan kebijaksanaan sewaktu melaksanakan tugas.

 

Pesanan itu dititipkan oleh Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani selepas menyampaikan penghargaan kepada tiga pegawai JCS yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana Falsafah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Pegawai yang diraikan adalah Ketua Setiausaha Sulit Kepada YAB Menteri Besar Johor, Dr. Joharudin Samion @ Mingan yang memperoleh PhD dalam Bidang Penyelidikan: Seni Bina selain Ketua (Operasi) Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, Ungku Khalsom Sofia Ungku Yusof dan Ketua Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Pegawai Khas kepada YB Setiausaha Kerajaan Johor, Muhammad Ammar Akmal Senan yang menamatkan pengajian Sarjana Falsafah dalam Bidang Penyelidikan : Pentadbiran dan Pembangunan Tanah.

 

Kejayaan ketiga-tiga pegawai JCS ini selari dengan Strategi 1 : Meningkatkan Kompetensi Perkhidmatan Awam dan Modal Insan menerusi Inisiatif 1 : Memperkasa Kepakaran Penjawat Awam dalam Belanjawan Johor 2023.

 

Kerajaan Johor pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi komited meneruskan program pengajian di peringkat PhD dan Sarjana serta program melahirkan ‘subject matter experts’ pada tahun ini, bagi memperkaya pengetahuan, kompetensi kemahiran dan pengalaman dalam kalangan penjawat awam negeri.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#BangsaJohor
#MajuJohor