TMJ KURNIA RM300,000 NAIK TARAF PADANG SELURUH NEGARA


DYAM Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenan mencemar duli berangkat ke Mesyuarat Pengelola Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium Liga Malaysia Musim 2024/2025.

 

 

DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkenan untuk mengurniakan RM300,000 sebagai kos pengurusan padang stadium di seluruh negara, sekali gus dapat meningkatkan mutu permainan pasukan yang akan bertanding pada Liga Malaysia Musim 2024/2025 akan datang.

 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata pihaknya menawarkan tawaran sebanyak RM500,000 kepada setiap negeri untuk menaik taraf stadium masing-masing yang turut membabitkan penambahbaikan sistem saliran dan penukaran rumput padang yang lebih baik dan berkualiti tinggi.

 

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pengelola Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium Liga Malaysia Musim 2024/2025, Hannah memberitahu, jika semua negeri bersetuju untuk menerima tawaran yang dikemukakan ini, DYAM Tunku Ismail dengan bermurah hati berkenan untuk mengurniakan dana sebanyak RM300,000 bagi tujuan kos pengurusan.

 

Kurniaan ini adalah atas sifat keprihatinan Baginda Tunku terhadap sukan bola sepak negara. Inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi mutu permainan pasukan Liga Super dan pada masa sama dapat mengelakkan berlaku kecederaan dalam kalangan pemain dan seterusnya membantu meningkatkan kualiti skuad bola sepak kebangsaan kelak.

 

Terdahulu, DYAM Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenan mencemar duli berangkat ke mesyuarat berkenaan. Hadir sama ialah Presiden Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam.

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor