107 USAHAWAN TERIMA INSENTIF PKPJ


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip menyampaikan insentif PKPJ kepada usahawan daerah Johor Bahru | Sumber Facebook Dato’ Zahari Sarip.

 

ISKANDAR PUTERI — Seramai 107 usahawan di negeri ini, menerima insentif melibatkan jumlah keseluruhan RM1.1 juta pada Majlis Perasmian Penyampaian Insentif Projek Perintis Keusahawanan Pertanian Johor (PKPJ) Tahun 2022, Khamis lalu.

Hadir menyempurnakan perasmian majlis adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip.

Zahari berkata, objektif utama penubuhan PKPJ adalah untuk meningkatkan nilai pengeluaran usahawan sekurang-kurangnya 10 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Ujar beliau, PKPJ juga bermatlamatkan meningkatkan penggunaan sistem mekanisasi dan automasi kepada usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dalam Negeri Johor.

“Melalui PKPJ ini, usahawan boleh memilih jenis insentif yang diperlukan seperti perolehan mesin, perolehan teknologi termasuk sistem IoT (Internet of Things), perkakasan dan peralatan IAT (Industri Asas Tani), Pembinaan dan Naiktaraf Bengkel serta Penambahbaikan pembungkusan Produk,” katanya.

Zahari berkata, Jabatan Pertanian Negeri Johor turut mengadakan kolaborasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan pihak SIRIM.

Katanya, kolaborasi itu untuk membantu serta memudahkan Usahawan PKPJ mendapatkan pensijilan yang berkenaan.

“Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan terus komited dalam memperkukuhkan Sekuriti Bekalan Makanan Negeri Johor khususnya melalui produk Agromakanan. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada para usahawan dalam perniagaan yang sedang dijalankan,” katanya.

 

#MediadigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor