12,000 PEK MAKANAN DIAGIHKAN DI 2 LOKALITI


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail menyediakan pek makanan kepada golongan sasar. | Foto ihsan Facebook Khairin-Nisa Ismail

 

ISKANDAR PUTERI — Projek Komuniti Di Hati diteruskan ke dua lokaliti di bandar raya Johor Bahru melibatkan edaran 12,000 pek makanan kepada golongan sasar.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, dua lokaliti terbabit adalah PPR Sri Stulang dan Rumah Pangsa Larkin.

 

Menurutnya, menerusi projek tersebut, seramai 16 ibu tunggal menyediakan kesemua pek makanan yang diagihkan untuk 20 sesi.

 

“600 pek makanan disediakan bagi setiap sesi. Seramai 20 orang sukarelawan Southern Volunteers turut terlibat bagi Projek Komuniti Di Hati dalam membantu dalam pengagihan makanan kepada golongan sasar,” katanya.

 

Terdahulu, beliau bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) menjayakan Projek Komuniti Di Hati di dua lokaliti berkenaan.

 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor. Mohd Hairi Mad Shah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar serta Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Nor Faezah Md Esa.

 

Khairin-Nisa berkata, turut diadakan penyampaian sumbangan I-Berkat kepada beberapa golongan sasar yang juga merupakan penghuni di PPR Sri Stulang.

 

“Manakala di Flat Larkin, saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah mengagihkan makanan kepada golongan sasar di tiga buah rumah.

 

“Besar harapan saya dalam memastikan Projek Komuniti Di Hati ini berjaya yang merupakan projek serampang dua mata bagi membasmi kemiskinan yang mana ia terletak di bawah Teras Ketiga: Jaringan Keselamatan Sosial dalam mencapai sasaran Negeri Maju 2030,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor