HARAP KERAJAAN TERUS BELA NASIB NELAYAN


Ketua Jaringan Nelayan Kampung Sungai Melayu, Kamarudin Ahmad berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa bantuan kepada golongan nelayan pada Belanjawan 2024 Johor kali ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

 

Oleh Suhana Mohd Arifin

 

Golongan nelayan di negeri ini berharap Kerajaan Negeri akan terus memberikan peruntukan tambahan pada sesi pembentangan Belanjawan Johor 2024 berikutan golongan berkenaan turut berhadapan dengan tekanan ekonomi masa kini yang menyebabkan pendapatan mereka agak tidak menentu.

 

Ketua Jaringan Nelayan Kampung Sungai Melayu, Kamarudin Ahmad mengangkat hasil tangkapannya. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

Ketua Jaringan Nelayan Kampung Sungai Melayu, Kamarudin Ahmad, berkata pihaknya berharap kerajaan akan dapat mempertimbangkan beberapa bantuan seperti peralatan menangkap ikan, bot dan juga enjin kepada golongan nelayan pada pembentangan Belanjawan 2024 Johor kali ini.

 

“Selain itu, kami berharap pihak kerajaan juga dapat mempertimbangkan bantuan subsidi petrol atau diesel, sekali gus dapat meringankan beban golongan nelayan yang sememangnya bergantung hidup kepada hasil tangkapan sebagai punca rezeki utama,” katanya.

 

Pada pembentangan Belanjawan Johor 2023, Kerajaan Negeri Johor memperuntukan sebanyak RM600,000 bagi memperkasakan pembangunan industri akuakultur dan sasaran untuk meningkatkan hasil perikanan sebanyak 10 peratus. Selain itu, RM400,000 pula bagi tujuan pengurusan projek sosial perikanan kepada golongan nelayan.

 

Ahmad Laili, Nelayan. | Foto MDJ Nurina Aisyah.

Sementara itu, Ahmad Laili berkata, beliau sebelum ini pernah menerima bantuan tong ais dan pukat jaring bagi menangkap ikan daripada agensi kerajaan yang berkaitan, sekali gus sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan urusan hariannya.

 

“Saya bekerja sebagai nelayan dan juga penjual ikan. Justeru, bantuan seumpama ini sememangnya amat membantu kami terutama dalam mengurangkan beban belanja membeli peralatan terbabit. Kami harap, bantuan seumpama ini dan juga perkara lain akan diberikan perhatian oleh kerajaan pada Belanjawan Johor 2024 kali ini,” katanya.

 

 

Bagi nelayan Masyarakat Orang Asli, Aiman Majid berkata, pihaknya berharap kerajaan turut memberi perhatian dalam membantu memasarkan hasil tangkapan nelayan ini kepada pelanggan di luar sana kerana turut menghadapi kesukaran apabila stok ikan tidak terjual.

 

#TriviaBajetJohor2023
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor