EXCO KERAJAAN JOHOR YAKIN KEBIJAKSANAAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17


EXCO Kerajaan Negeri Johor yakin dengan kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. | Foto Royal Press Office

 

Pemerintahan dan naungan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bermula secara rasmi hari ini selepas Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Balairung Seri Istana Negara.

 

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor menzahirkan kesyukuran selain turut mendoakan Yang di-Pertuan Agong sentiasa berada dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah SWT sepanjang pemerintahannya.

 

Beliau turut yakin dengan kebijaksanaan, ketegasan dan kepemimpinan bitara Seri Paduka Baginda akan dapat memacu kemajuan negara berserta membawa limpahan kesejahteraan kepada rakyat.

 

Manakala YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor pula menyifatkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja yang adil serta sentiasa memahami denyut nadi rakyat.

 

Di Johor, Seri Paduka Baginda sering bertitah mengingatkannya supaya mempunyai perancangan yang teliti dan bertindak segera dalam menyediakan kediaman mampu dimiliki rakyat selain menjaga kualiti kerja pemaju perumahan.

 

Sementara itu, YB Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor pula menzahirkan keyakinan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong mampu membawa era baharu dalam kestabilan negara.

 

Kepemimpinan Seri Paduka Baginda juga akan memberi hala tuju yang jelas dan bersifat terangkum khususnya melibatkan ekonomi, perpaduan antara rakyat, hubungan diplomatik antarabangsa serta kestabilan politik.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor