KHEMAH BAHARU, CERIAKAN BAZAR KARAT


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membuat tinjauan di Bazar Karat Johor Bahru. | Foto MDJ Aisyah Salleh

 

Lebih ceria, lebih terampil dan lebih selesa. Itu perubahan yang pasti akan dapat dilihat jika anda berkunjung ke lokasi Bazar Karat selepas ini apabila peniaga atau lebih tepat usahawan mikro masing-masing menerima bantuan khemah niaga yang baru.

 

Inisiatif terbaharu Kerajaan Johor menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) secara tidak langsung akan menaikan lagi keceriaan ‘port waktu malam’ tumpuan ramai termasuk pelancong dari luar Johor.

 

Lebih menarik, pemberian khemah terbabit tidak terhad untuk usahawan mikro yang beroperasi di Bazar Karat JB sahaja, tetapi 2,000 khemah yang masing-masing berukuran 10×10 meter dan kalis air terbabit akan turut diagihkan kepada peniaga yang mencari rezeki di beberapa lokasi bazar karat lain di seluruh daerah di Johor.

 

Ia secara tidak langsung berupaya merealisasikan tekad Kerajaan Negeri untuk turut memberi perhatian serius kepada komuniti usahawan mikro di negeri ini sekali gus dapat meningkatkan pendapatan dan melonjakan potensi mereka tahap yang lebih ideal.

 

Perkara ini dapat diimbas kembali menerusi peruntukan sebanyak RM8.85 juta di bawah Strategi Lima: Pembangunan Usahawan di dalam Belanjawan Johor 2024 bagi melaksanakan sembilan inisiatif dalam membantu meningkatkan pendapatan golongan usahawan.

 

Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Johor turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada PUJB bagi tugasan menceriakan bazar karat yang turut menjadi lokasi nadi ekonomi rakyat marhaen tempatan.

 

Selain itu, inisiatif BRJohorNiaga yang dilancarkan pada tahun lalu juga telah memberi manfaat kepada 413 penerima hasil pemberian pembiayaan yang disediakan oleh Kerajaan Johor dengan dana sebanyak RM26.8 juta.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir merasmikan Majlis Pelancaran Insentif Khemah Usahawan Mikro dan Hari PUJB Bertemu Usahawan di Bazar Karat Johor Bahru.

 

Hadir sama, YB Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, YBhg Muzaldin Mohamed, Pegawai Daerah Johor Bahru dan YB Dato’ Mohd Noorazam Osman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor