YSF24: SATU DEKLARASI PERKUKUH PERANAN BELIA


Forum Kemampanan Belia 2024 (YSF24) anjuran Kelab Belia Prihatin melabuhkan tirainya, hari ini, berjaya memberikan manfaat signifikan kepada delegasi ASEAN dalam mengangkat agenda kemampanan dan kelestarian. | Foto Nor Nazreen.

 

 

Forum Kemampanan Belia 2024 (YSF24), anjuran Kelab Belia Prihatin dengan kerjasama Pusat Kelestarian Johor (JSC) dan Kerajaan Johor melabuhkan tirainya, hari ini, berjaya memberikan manfaat signifikan kepada delegasi ASEAN dalam mengangkat agenda kemampanan dan kelestarian.

 

Sepanjang lima hari forum berlangsung, Presiden Kelab Belia Prihatin, Luqman Hakim Md Zim, menyatakan bahawa YSF24 berjaya menghasilkan satu deklarasi penting memperkukuhkan peranan belia dalam menangani isu perubahan iklim di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Antara intipati utama deklarasi ini termasuklah pemberian kuota khusus kepada golongan belia menjadi sebahagian daripada perwakilan negara ke siri penganjuran Conference of the Parties (COP) serta menekankan keperluan memantapkan dasar dan polisi berkaitan isu perubahan iklim dan agenda hijau.

 

Langkah konkrit tersebut diambil bagi memastikan suara belia diberi perhatian dalam forum-forum penting di peringkat antarabangsa, sekali gus memperkasakan peranan mereka dalam agenda kelestarian alam sekitar.

 

Luqman turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Johor atas sokongan padu diberikan sepanjang penganjuran forum ini merangkumi bantuan kewangan serta kerjasama erat daripada agensi kerajaan serta sektor korporat sekali gus memastikan objektif forum yang ditetapkan tercapai.

 

Pada hari terakhir YSF24, para delegasi telah dibawa melawat ke Dewan Persidangan di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar bertujuan memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai fungsi Dewan Negeri Johor serta keunikan pentadbiran Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor