SUKMA SARAWAK XXI: CABARAN BURU PINGAT EMAS BERMULA!


Kesemua tujuh atlet judo yang dipertaruhkan ini juga terdiri daripada muka baharu dengan seorang daripada mereka pernah menggalas tugas dalam edisi SUKMA sebelum ini. | Foto MDJ.

 

 

Skuad Judo Kontinjen Negeri Johor hari ini memulakan kempen untuk memburu pingat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak XXI menerusi acara Nage-No-Kata dan Ju-No-Kata bagi kategori lelaki serta wanita yang berlangsung di Dewan Balau, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah.

 

Optimis dengan prestasi semasa skuadnya, Othman Mohd Nizam Yeo, Ketua Jurulatih Pasukan Judo Johor menjanjikan kesemua tujuh atlet judo di bawah bimbingannya kini berada pada tahap terbaik dan sedia untuk bertempur dalam semua tujuh kategori yang dipertandingkan dalam acara judo.

 

Ia membabitkan kategori acara pendahuluan judo iaitu Nage-No-Kata dan Ju-No-Kata, sebelum acara yang dinantikan membabitkan kategori 55 kilogram (KG), 60 KG, 66 KG dan 73 KG sementara kategori wanita pula merangkumi acara 63 KG, 70 KG dan melebihi 70 KG.

 

Kesemua tujuh atlet judo yang dipertaruhkan dalam memburu pingat emas kali ini juga terdiri daripada muka baharu dengan seorang daripada mereka pernah menggalas tugas dalam edisi SUKMA sebelum ini.

 

Selain itu, Othman turut menjelaskan, pihaknya turut menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya dua pingat emas atau lebih, selain turut melontarkan cabaran pasukan Judo Johor kali ini untuk memecah rekod lama yang dipegang jurulatih itu yang masih utuh bertahan selama 20 tahun.

 

Untuk rekod, sejarah kegemilangan Skuad Judo Johor dicipta pada edisi SUKMA 2004 di Negeri Sembilan yang mana berjaya membawa pulang tujuh pingat emas daripada 27 pingat keseluruhan yang dipertandingkan dalam acara judo.

 

#RiseUpJohor
#SukmaSarawak2024
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor