AA42 – PERMATA YANG SEMAKIN MENYINAR


Arif Aiman Hanapi, pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT)

 

Arif Aiman Hanapi, 22, melakar sejarah apabila menjadi pemain tempatan pertama menyumbat dua gol dalam kejohanan Liga Juara-Juara Elit AFC (ACLE) 2024/25, menyaksikan juara Liga Super Malaysia berjaya membawa pulang satu mata selepas mengikat Juara Liga Super China, Shanghai Port dalam perlawanan pertama.

 

Peluang hanya datang sekali, begitulah tuah seorang pemain muda yang meninggalkan akademi bola sepak negara penghujung tahun 2018 dan membuat keputusan untuk menyertai Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) demi mencabar diri sendiri dan membuktikan sesuatu di masa akan datang.

 

Bukan sesuatu yang mudah, Arif melalui setiap fasa akademi JDT bermula daripada JDT IV, JDT III, JDT II dan kini sentiasa mendapat tempat dalam kesebelasan utama sebagai pemain sayap pasukan elit JDT, jelas membuktikan bahawa pembangunan akar umbi penting bagi setiap kelab bola sepak.

 

Seawal umur 19 tahun, Arif telah dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) dan memecahkan rekod kebangsaan sebagai pemain paling muda yang berjaya memenangi anugerah tersebut, selain turut merangkul anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik pada ABK21.

 

Biarpun ramai yang tidak percaya kepada proses, Arif Aiman dan JDT berjaya membuktikan sebaliknya. Penampilan pertama Arif Aiman bersama pasukan elit JDT pada tahun 2021 menentang pasukan UiTM, Arif berjaya menyumbat gol sulung beliau dalam perlawanan tersebut. Arif juga berjaya disenaraikan sebagai kesebelasan utama untuk pasukan elit JDT dalam penampilan pertama beliau dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2021 (ACL2021) pada tahun yang sama.

 

Penyokong Johor akan sentiasa mengingati momen epik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada April 2022, di mana Arif Aiman membuat kejutan dengan gol kemenangan minit terakhir perlawanan peringkat kumpulan ACL, sekali gus melakar sejarah untuk skuad Harimau Selatan buat pertama kalinya layak ke peringkat 16 terbaik.

 

Dengan fasiliti dan kemudahan yang terbaik disediakan oleh JDT, Arif Aiman telah berjaya membuat 74 penampilan dan mencetak 18 gol sehingga kini bagi kejohanan Liga Super Malaysia. Atas usaha keras dan kesungguhan beliau di atas padang, Arif turut merangkul gelaran MVP ABK 2022 dan turut memenangi anugerah MVP kali ketiga berturut-turut pada ABK 2023.

 

Segala pencapaian dan kejayaan Arif Aiman adalah usaha keras pemain ini, dibimbing oleh sebuah kelab bolasepak profesional yang mementingkan pembangunan akar umbi. Hasilnya, Arif berjaya membuktikan kebolehan pemain tempatan bersaing di peringkat kejohanan tertinggi Asia.

 

Semoga berjaya, MVP!

 

#theTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor