MPK TINGKAT KAWALAN TRAFIK MELALUI PENGLIBATAN ‘WARDEN LALU LINTAS’

YBhg. Encik Mohd Fahmy Yahya, Yang Dipertua MPK pada Majlis Pelancaran Warden Lalu Lintas Majlis Perbandaran Kluang di Perkarangan MPK. | Foto Majlis Perbandaran Kluang

 

#Kluang – Majlis Perbandaran Kluang (MPK) memperkenalkan inisiatif ‘Warden Lalu Lintas’ sebagai antara langkah strategik bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan trafik di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan terutama di kawasan tumpuan awam yang sering kali berdepan dengan isu kesesakan lalu lintas serta masalah parkir kenderaan.

 

Langkah proaktif ini dilaksanakan seiring dengan keadaan pembangunan pesat serta peningkatan ketara jumlah kenderaan di bandar Kluang hingga menyebabkan keperluan terhadap perancangan lalu lintas yang lebih sistematik dan berkesan menjadi semakin penting, sekali gus dapat memupuk kesedaran dan disiplin masyarakat terhadap pematuhan peraturan trafik di daerah berkenaan.

 

Menerusi inisiatif itu, seramai 15 pegawai dan anggota telah dilantik pada peringkat awal bagi menjalankan kuasa mengikut Subseksyen 3(4B) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Setiap warden yang dilantik, mereka juga turut dibekalkan dengan kemahiran dan pengetahuan berkaitan pengurusan trafik bagi membolehkan pelaksanaan tugasan berkenaan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

 

Selain itu, MPK juga memperkenalkan fungsi dan peranan warden lalu lintas terbabit yang akan memainkan tanggungjawab penting dalam membantu melancarkan pergerakan kenderaan, selain ia juga dilihat berupaya mengurangkan risiko terhadap keselamatan orang awam di kawasan berkenaan.

 

Ia membabitkan beberapa isu yang akan ditangani seperti masalah parkir tidak teratur, halangan terhadap laluan trafik, pejalan kaki dan laluan kecemasan yang sebelum ini menjadi antara penyebab utama kepada masalah kesesakan lalu lintas di bandar Kluang.

 

Terdahulu, YBhg. Encik Mohd Fahmy Yahya, Yang Dipertua MPK hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Warden Lalu Lintas Majlis Perbandaran Kluang di Perkarangan MPK, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#MPKluang
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor