‘BANDO’ KLUANG, MERSING, SIMPANG RENGGAM TERSENARAI 10 BANDAR PALING BAHAGIA

Pengiktirafan ini diberikan sempena sambutan Hari Kebahagiaan yang diraikan pada tanggal 20 Mac setiap tahun dengan tema ‘Bijak Digital, Cipta Bahagia Bersama’, menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar sebagai asas kebahagiaan sejagat. | Foto Arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Tiga bandar di Negeri Johor iaitu Bandar Kluang, Mersing dan Simpang Renggam tersenarai sebagai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2026, sekali gus mencerminkan tahap kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat yang terus terjamin.

 

Pengiktirafan ini diberikan sempena sambutan Hari Kebahagiaan yang diraikan pada tanggal 20 Mac setiap tahun dengan tema ‘Bijak Digital, Cipta Bahagia Bersama’, menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar sebagai asas kebahagiaan sejagat.

 

Selain tiga bandar di Johor, turut tersenarai ialah Bandar Dabong, Kelantan; Bandaraya Kuala Terengganu, Terengganu; Bandar Lipis, Pahang; Bandar Marang, Terengganu; Bandar Permaisuri, Terengganu; Bandar Ranau, Sabah; serta Bandar Raub, Pahang.

 

Penentuan Indeks Kebahagiaan Bandar 2026 dilaksanakan secara komprehensif dengan 80 peratus data diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mengukur tahap kesejahteraan menyeluruh merangkumi aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual melalui Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI).

 

Selain itu, 20 peratus lagi adalah daripada Sistem MURNInets yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) yang menilai persepsi penduduk terhadap kualiti persekitaran, kemudahan serta perkhidmatan perbandaran di kawasan masing-masing.

 

Pendekatan ini juga turut menggabungkan data makro di peringkat nasional dan negeri dengan pengalaman sebenar penduduk di peringkat setempat bagi menghasilkan ukuran yang lebih holistik, konsisten dan seimbang.

 

Pencapaian ini membuktikan usaha berterusan Kerajaan Johor dalam memastikan pembangunan negeri tidak hanya tertumpu kepada aspek ekonomi semata-mata, sebaliknya turut memberi keutamaan kepada kesejahteraan hidup, keharmonian komuniti dan kualiti persekitaran demi manfaat Bangsa Johor.

 

#JohorSafeZone
#Kluang
#Mersing
#SimpangRenggam
#BandarPalingBahagia2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor