JELAJAH E-INVOIS HASiL PERKASA PENDIDIKAN PERCUKAIAN KEPADA KOMUNITI

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor pada Program Jelajah Pendidikan Percukaian dan e-Invois HASiL Johor 2026 di Kolej Komuniti Segamat 2, Batu Anam.

 

#IskandarPuteri – Program Jelajah Pendidikan Percukaian dan e-Invois HASiL Johor 2026 berjaya menghimpunkan seramai 115 komuniti peniaga tempatan khususnya di Segamat bagi meningkatkan kefahaman mengenai pelaksanaan e-Invois serta memperkukuh literasi percukaian dalam kalangan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

 

Daerah Segamat telah dipilih sebagai lokasi pertama untuk tahun 2026 dan merupakan penganjuran program buat kali kelima di negeri Johor sejak ia diperkenalkan pada tahun 2025, sekali gus membuktikan komitmen berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).

 

Sepanjang program berlangsung, peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian utama termasuk pengenalan kepada e-Invois, kaedah penggunaan Portal MyInvois, pelaksanaan Sistem MyInvois e-POS serta taklimat komprehensif mengenai percukaian. Lebih istimewa, peserta yang memenuhi syarat kelayakan berpeluang menggunakan Sistem MyInvois e-POS secara percuma. Sistem tersebut dianggarkan mempunyai nilai pasaran hampir RM10,000 sekiranya diperoleh secara komersial.

 

HASiL turut menyediakan Kaunter Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi membolehkan orang ramai membuat semakan status permohonan, kemas kini maklumat serta mendapatkan khidmat nasihat berkaitan bantuan.

 

Selain itu, kaunter perkhidmatan Amanah Raya Berhad disediakan bagi memberi khidmat nasihat berkaitan perancangan harta pusaka, pengurusan pentadbiran harta serta perkhidmatan lain yang ditawarkan kepada masyarakat setempat.

 

Pelaksanaan e-Invois merupakan langkah penting dalam menyokong transformasi digital perniagaan bagi membantu meningkatkan kecekapan pengurusan, mengurangkan risiko kesilapan dokumentasi, menjimatkan kos pentadbiran serta memperkukuh pengurusan kewangan perniagaan.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor diiringi Puan Shifaak Md. Amin, Pengarah HASiL Negeri Johor hadir merasmikan Program Jelajah Pendidikan Percukaian dan e-Invois HASiL Johor 2026 di Kolej Komuniti Segamat 2, Batu Anam.

 

#JohorSafeZone

#Einvois
#HASiL
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor