JOHOR-PERSEKUTUAN PERKUKUH KERJASAMA PACU PELABURAN BERKUALITI

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan pertemuan bersama YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi membincangkan hala tuju pelaburan dan pembangunan industri Johor, baru-baru ini. | Foto FB Johari Abdul Ghani
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memacu pelaburan dan pembangunan industri negeri bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicapai memberi manfaat lebih besar kepada Bangsa Johor.
Justeru, penyelarasan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Invest Johor serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga akan terus diberi perhatian bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan projek bernilai tinggi ke Johor.
Kerjasama berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha memastikan pelaburan yang hadir bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga membuka peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi serta membangunkan bakat tempatan.
Pada masa sama, limpahan pelaburan turut disasarkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk pembangunan vendor, syarikat tempatan serta rantaian bekalan dalam negeri supaya lebih banyak pihak dapat menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Johor.
Johor mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.0 peratus pada 2025 yang juga tertinggi dalam negara, sekali gus memberi keyakinan untuk negeri ini terus melangkah ke hadapan dengan memberi penekanan kepada pelaburan yang mampu menghasilkan impak jangka panjang kepada ekonomi dan rakyat.
Melalui kerjasama erat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, Johor menyasarkan lebih banyak pelaburan berkualiti serta projek bernilai tinggi yang mampu mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan baharu untuk Bangsa Johor dan rakyat Malaysia menjelang 2030.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, mengadakan pertemuan bersama YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi membincangkan hala tuju pelaburan dan pembangunan industri Johor, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#PelaburanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


