JOHOR SASAR 45,575 UNIT RMMJ SIAP MENJELANG 2030

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, mempengerusikan Mesyuarat PDRC Bilangan 3/2026 bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Pejabat Tanah dan Galian Johor, Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi berkaitan. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menyasarkan untuk menyiapkan sebanyak 45,575 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menerusi 190 projek disiapkan secara berperingkat menjelang 2030.
Bagi menjayakan sasaran itu, sebanyak 190 projek perumahan berkenaan kini dipantau menerusi Jawatankuasa Perancangan, Penilaian dan Rekabentuk (PDRC) bagi memastikan setiap komitmen pembangunan RMMJ dapat diterjemahkan kepada pembangunan sebenar di tapak projek mengikut garis masa yang telah ditetapkan.
Pelaksanaan komitmen itu melibatkan 37 sesi PDRC yang merangkumi 10 daerah, 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 152 pemaju bagi memastikan penyediaan rumah mampu milik berkenaan terus memenuhi keperluan Bangsa Johor.
Berdasarkan data suku kedua (Q2) 2026, sebanyak 22,284 unit RMMJ telah direkodkan, manakala Kerajaan Johor menyasarkan 30,000 unit rumah mampu milik untuk golongan B40 dan M40 dapat disiapkan menjelang akhir 2026, sebelum mencapai sasaran 100,000 unit menjelang 2030.
Pada mesyuarat PDRC baru-baru ini, beberapa cadangan pembangunan melibatkan daerah Johor Bahru, Kulai dan Mersing turut dibentangkan untuk tujuan penelitian, antaranya berkaitan penyelarasan komponen pembangunan, pindaan susun atur, penyediaan serta pemindahan komponen RMMJ dan pematuhan terhadap Polisi Perumahan Mampu Milik Johor.
Antara permohonan yang dibentangkan turut melibatkan cadangan 394 unit RMMJ untuk dibina terlebih dahulu berikutan komponen pasaran terbuka di tapak berkenaan telah mula dibangunkan.
Kerajaan Negeri turut menekankan supaya setiap komitmen RMMJ yang dibuat oleh pemaju dapat diterjemahkan kepada pembangunan sebenar di tapak mengikut garis masa yang ditetapkan, di samping pemantauan berterusan sehingga rumah berkenaan siap dan diserahkan kepada rakyat.
Pendekatan itu menjadi antara fokus utama PDRC dalam memastikan komitmen 45,575 unit RMMJ bukan sekadar angka dalam perancangan, sebaliknya ia mampu direalisasikan sebagai kediaman mampu milik untuk Bangsa Johor menjelang 2030.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, mempengerusikan Mesyuarat PDRC Bilangan 3/2026 bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Pejabat Tanah dan Galian Johor, Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi berkaitan, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#AgendaPerumahanJohor
#RumahMampuMilikJohor
#BangsaJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



