JELAJAH PENTAS SENI JOHOR BAWA WARISAN NEGERI MERENTASI LIMA DAERAH

YB Tuan P. S. Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor menyempurnakan pelancaran Jelajah PSJ26 di Memorial Daing Haddadek Sri Salewangeng, Tanjung Piai, Pontian. | Foto Yayasan JCorp
#IskandarPuteri – Jelajah Pentas Seni Johor 2026 (Jelajah PSJ26) membawa keunikan seni, budaya dan warisan setiap daerah lebih dekat kepada masyarakat menerusi penganjuran di lima daerah di seluruh Johor.
Jelajah anjuran Yayasan JCorp bersempena Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 ini melibatkan Pontian, Segamat, Batu Pahat, Kota Tinggi dan Johor Bahru dengan setiap daerah diberi ruang menampilkan identiti serta kisah komuniti setempat.
Pendekatan tersebut membolehkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan Johor diperkenalkan menerusi persembahan tradisional, gastronomi warisan, hasil kraftangan, aktiviti kreatif serta pengalaman budaya yang mencerminkan kehidupan masyarakat di setiap daerah.
Pontian menjadi lokasi pertama Jelajah PSJ26 dengan mengangkat warisan Bugis menerusi Festival Rumpun Bugis Johor yang menampilkan persembahan tradisional, pameran budaya, pertandingan warisan, demonstrasi kulinari, bengkel kebudayaan dan pasar kreatif.
Selepas Pontian, jelajah akan diteruskan ke Segamat pada 25 hingga 27 September diikuti Batu Pahat pada 30 dan 31 Oktober serta Kota Tinggi pada 14 dan 15 November sebelum kemuncaknya di Johor Bahru pada 19 dan 20 Disember 2026.
Selain mengangkat identiti setempat, program ini turut membuka ruang kepada penggiat seni, pengusaha kraf, usahawan kreatif dan komuniti untuk memperluas peluang ekonomi menerusi sektor seni, budaya dan pelancongan.
Kerjasama strategik antara Yayasan JCorp dan Tourism Malaysia turut dimeterai menerusi Memorandum Kerjasama (MoC) bagi merancakkan ekonomi kreatif tempatan serta mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan kreatif dan budaya.
Terdahulu, YB Tuan P. S. Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor menyempurnakan pelancaran Jelajah PSJ26 di Memorial Daing Haddadek Sri Salewangeng, Tanjung Piai, Pontian, semalam.
#JohorSafeZone
#YayasanJCorp
#PentasSeniJohor
#VisitJohor2026
#MehLahJohor
#MajesticJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



