JOHOR UTAMAKAN KESIHATAN MURID DALAM SITUASI JEREBU

Pihak sekolah di negeri ini diminta supaya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setempat dan menyesuaikan aktiviti sekolah berdasarkan keadaan semasa serta panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. | Foto FB Dr. Naqib Ghazali
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri akan terus memberi keutamaan terhadap soal kesihatan dan keselamatan murid serta seluruh warga sekolah susulan keadaan jerebu yang sedang berlaku di beberapa lokasi di Johor.
Justeru, pihak sekolah di negeri ini diminta supaya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setempat dan menyesuaikan aktiviti sekolah berdasarkan keadaan semasa serta panduan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Sekiranya IPU melebihi 100, semua aktiviti luar termasuk sukan, kokurikulum dan program luar hendaklah ditangguhkan untuk sementara waktu, manakala sekiranya bacaan IPU melebihi 200, sekolah di kawasan berkenaan hendaklah ditutup mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
Warga sekolah juga disarankan supaya menggunakan pelitup muka yang bersesuaian, memastikan pengambilan air mencukupi dan mendapatkan tindakan lanjut sekiranya terdapat tanda tidak sihat di sekolah masing-masing.
Bagi ibu bapa yang bimbang terhadap kesihatan anak-anak boleh mempertimbangkan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah dengan memaklumkan perkara tersebut terlebih dahulu kepada pihak sekolah.
Orang ramai juga disaran supaya sentiasa mendapatkan bacaan IPU terkini melalui Air Pollutant Index Management System (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini.
Kerajaan Negeri menyeru kerjasama daripada semua pihak bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan warga sekolah sentiasa terpelihara.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung langkah menghadapi situasi jerebu berikutan beberapa lokasi di negeri ini mula menunjukkan peningkatan indeks IPU walaupun ia masih dalam keadaan terkawal.
#JohorSafeZone
#PendidikanBangsaJohor
#ElNino
#Jerebu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


