JOHOR PERKUKUH KERJASAMA, JAMIN KESELAMATAN MURID

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menziarahi keluarga Allahyarhamah termasuk ayah, datuk dan neneknya bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan kepada keluarga yang sedang melalui kehilangan tersebut. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan dan soal kesejahteraan murid di sekolah sentiasa diberi perhatian susulan kejadian yang menimpa Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal di Yong Peng, baru-baru ini.
Kerjasama itu melibatkan pihak berkuasa, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), pihak sekolah serta ibu bapa dalam meneliti perkara yang boleh diperbaiki dan diperkukuh, khususnya berkaitan keselamatan murid.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan tidak mahu mendahului sebarang kesimpulan berhubung kejadian berkenaan.
Orang awam dan pengguna media sosial turut diseru supaya menghormati sensitiviti keluarga Allahyarham dengan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, menziarahi keluarga Allahyarham termasuk ayah, datuk dan neneknya bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan kepada keluarga mangsa yang sedang melalui kehilangan tersebut.
YAB Menteri Besar turut menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan anak-anak di sekolah merupakan tanggungjawab bersama yang perlu terus diberi perhatian sewajarnya dan juga diperkukuh dari semasa ke semasa.
Beliau turut merakamkan salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Irene Sofiya serta mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan memberikan kekuatan serta ketabahan kepada seluruh ahli keluarga.
#JohorSafeZone
#PendidikanJohor
#TidakPadaBuli
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


