JOHOR PERKUKUH KESIAPSIAGAAN BEKALAN AIR DAN ELEKTRIK HADAPI SUPER EL NINO

Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi tempoh November 2026 hingga Jun 2027. | Foto MDJ Nazreen
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus memperkukuh kesiapsiagaan dari aspek bekalan air dan elektrik bagi menghadapi risiko fenomena Super El Nino yang dijangka memberi kesan kepada Johor pada awal tahun 2027.
Sebanyak 13 Loji Rawatan Air (LRA) di lima daerah dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan yang berisiko mengalami kekurangan sumber air mentah, melibatkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Kluang dan Segamat.
Justeru, Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi tempoh November 2026 hingga Jun 2027.
Bagi tujuan sama, Kerajaan Negeri turut memperkukuh sumber air mentah melalui pemindahan air Seluyut–Layang berkapasiti sehingga 300 juta liter sehari (JLH), selain mengenal pasti sumber alternatif lain seperti bekas kolam lombong, tasik dan kuari.
Bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air, Ranhill SAJ turut bersedia menyediakan 38 lori tangki dan 283 tangki statik di sembilan daerah, dengan keutamaan diberikan kepada pengguna domestik serta premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan klinik kesihatan.
Dalam aspek bekalan elektrik pula, kapasiti terpasang di Johor adalah sebanyak 9,405 MVA berbanding permintaan beban puncak sekitar 3,349 MVA, manakala permintaan elektrik dijangka meningkat antara lima hingga 15 peratus sekiranya fenomena El Nino berlaku.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memperkukuh pemantauan beban elektrik dan melaksanakan pelbagai langkah mitigasi termasuk pengimbangan beban, penyusunan semula rangkaian, penambahan suntikan bekalan serta kerja menaik taraf aset dan kabel mengikut tahap keperluan semasa.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, menjawab pertanyaan YB Tuan Ng Yak Howe, Ahli Dewan Negeri Johor (ADUN) kawasan Bentayan, pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


