BERKELANA KERANA MINAT WAU TRADISIONAL
PASIR GUDANG — “Minat terhadap seni wau bermula sejak 2009 selepas melihat sekumpulan pemain wau dan sejak itu cinta saya terhadap wau semakin lama semakin mendalam,” kata Mohd Razi Mohd Said, 51.
Mohd Razi yang juga pemain dan pembuat wau Persatuan Pelayang Negeri Johor berkata, dari situlah beliau kemudian mengambil keputusan untuk bermain dan mempelajari seni membuat wau tradisional.
“Bak kata cinta pandang pertama, saya tertarik dengan kesenian yang terdapat pada wau tradisional. Tidak seperti layang-layang biasa, wau tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri.
“Disebabkan saya tinggal di Kuala Lumpur kerana bekerja di sana saya tidak mempunyai rujukan atau guru untuk mengajar saya dan untuk itu, saya terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk mencari guru ke beberapa tempat yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Digital Johor di Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) Kali Ke-25 2023 di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang.
Disebabkan minat mendalam, bapa kepada tiga anak itu kemudiannya menadah ilmu dengan beberapa pakar wau di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor untuk mendalami selok belok seni pembuatan wau.
“Saya mendalami ilmu wau ini membabitkan tiga jenis wau kebangsaan utama iaitu wau bulan, wau kucing dan wau jala budi. Bagaimanapun wau bulan adalah wau kegemaran saya.
“Ia berikutan wau bulan mempunyai keunikannya tersendiri kerana ia seolah-olah menjadi identiti Malaysia apabila diangkat menjadi duta dalam pelbagai program dan juga diabadikan pada mata wang negara kita. Ia adalah simbolik kepada Malaysia,” katanya.
Tanpa menoleh ke belakang, Mohd Razi turut mendalami ilmu mensobek wau iaitu teknik menghasilkan elemen ukiran estetika pada wau yang menyerlahkan lagi keunikan dan keterampilan pada sesebuah wau yang dihasilkan.
“Wau kita ini kaya dengan hasil seni terutama pada ukiran awan larat. Ia tidak sekadar pada teknik ukir, tebuk dan tampal sahaja tetapi setiap ukiran itu mewakili jiwa yang ada pada masyarakat kita di alam Melayu ini.
“Selain itu untuk menghasilkan wau ini juga perlu belajar untuk keseimbangan wau yang memerlukan kreativiti, begitu juga cara untuk melembutkan wau seperti burung yang sedang terbang, untuk menampung beban angin dan sebagainya,” katanya.
Beliau yang sudah menyertai FLLSPG sejak 2010 berkata, beliau juga bertuah kerana ketiga-tiga anaknya juga turut meminati wau ini dan berharap ia akan menjadi satu tradisi pada keluarganya kelak.
“Ketiga-tiga anak saya juga meminati seni wau ini terutama sekali anak bongsu membabitkan jenis moden dan tradisional.
“Anak perempuan saya pula meminati seni ukiran sobek wau iaitu melukis, menebuk dan menampal. Lukis menjadikannya kerawang untuk ukiran awan larat bertemakan pokok seri pagi,” katanya.
Ditanya mengenai nasihat kepada generasi muda hari ini, Mohd Razi berkata, semua pihak khususnya anak muda perlu mempunyai keinginan dalam diri untuk memartabatkan khazanah warisan bangsa ini.
“Nasihat saya, ini adalah peninggalan nenek moyang kita yang harus dipertahankan. Paling tidak pun, jadikannya hobi untuk kita luangkan pada masa lapang supaya warisan ini sentiasa berkekalan.
“Angkat khazanah bangsa kita ini ke peringkat ke lebih tinggi termasuk ke universiti kerana seluruh dunia bermain layang-layang tetapi jangan sampai wau kita dilupakan berikutan terdapat jenis yang lebih moden yang ada pada hari ini,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor