FESTIVAL MUZIK NUSANTARA DAN MAKANAN ANTARABANGSA JOHOR 2023
JOHOR BAHRU — Seramai 300,000 dijangka memeriahkan Festival Muzik Nusantara dan Makanan Antarabangsa Johor 2023 yang akan diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, bermula esok hingga 5 Mac ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, penganjuran kedua-dua festival itu menjadi platform merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat dengan kehadiran pengunjung domestik dan antarabangsa ke Johor.
Menurutnya, festival berkenaan juga akan melibatkan pelbagai pihak antaranya Yayasan Warisan Johor, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Konsulat Republik Indonesia Johor Bahru, Konsulat Republik Singapura Johor Bahru dan Star Vendors Events Sdn. Bhd.
“Turut diadakan Seminar Muzik Nusantara yang melibatkan pakar seni muzim dari Indonesia, Malaysia dan Singapura. Seminar ini dijangka akan disertai 100 penggiat seni dan akan diadakan pada 4 Mac 2023,” kata beliau pada sidang media di Bangunan JOTIC, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Tourism Johor, Ts. Dr. Mohd Azlan Ab. Jalil.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors, Dato’ Saripah Raziah berkata, festival tersebut bakal menampilkan persembahan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura termasuklah artis jemputan seperti Noraniza Idris dan Ramlah Ram.
Malah, katanya, festival yang akan disertai lebih 200 vendor usahawan berserta 45 selebriti dan pempengaruh bersama produk masing-masing, turut mempromosikan makanan tradisi dari Malaysia termasuklah sajian asli Johor selain Indonesia dan Singapura.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor