JOHOR TERIMA PERUNTUKKAN 250 RIBU, AKTIFKAN PUSAT KAWALAN BENCANA


Keadaan jalan raya di beberapa daerah di Johor yang dinaiki air akibat hujan lebat berterusan / Gambar Ihsan FB Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukan sebanyak RM250,000 secara serta merta ke daerah Kluang, Batu Pahat, Segamat, Muar dan Tangkak bagi kegunaan Jurutera Daerah (JD) menghadapi situasi banjir, di negeri ini.

Menerusi Kenyataan Medianya, peruntukan yang diberikan itu melibatkan jalan Persekutuan yang terjejas akibat banjir yang berlaku sejak pagi semalam.

“Pihak Konsesi Persekutuan dan juga JKR Daerah akan mengenal pasti jalan-jalan yang rosak bagi tujuan permohonan peruntukan kerja-kerja pembaikan.

“Pihak Konsesi bersama JKR Daerah diminta turut bersiap siaga di laluan yang dinaiki air sebagai persediaan jika berlaku kecemasan yang tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Johor telah diaktifkan serta merta sejak 8.00 pagi, hari ini.

Pusat kawasalan terbabit akan membantu orang awam dalam penyaluran maklumat dan pertanyaan berkaitan penutupan jalan.

“Pelaporan akan dikemaskini setiap empat jam dengan pelaporan akan dikemaskini di laman rasmi Pengurusan Bencana JKR Malaysia (e-Bencana)”, jelas kenyataan itu.

JKR Malaysia juga bersedia menyalurkan Bantuan Tanggungjawab Sosial (CSR) seperti kesiap siagaan pasukan ‘Bailey Bridge’, aset-aset jabatan, bantuan membawa pelajar yang terkesan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pengajian Malaysia (SPM) dan pesakit ke hospital.

Pihak JKR Malaysia memaklumkan, orang awam juga boleh merujuk laman web http://bencanaalam.jkr.gov.my atau hubungi talian 03-26107727 untuk mendapatkan status jalan yang terkesan banjir dan jalan alternatif.

“Orang awam juga boleh memperolehi maklumat jalan alternatif melalui sosial media JKR Malaysia iaitu Facebook jkr.malaysia, twitter @jkrMalaysia dan instagram @jkrmalaysia,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor