JDT RANCAK ‘BELASAH’ SANG KENARI


Kemenangan ke atas skuad kendalian Nafuzi Zain menyaksikan JDT terus mendominasi Liga Super 2023 dengan mengutip 24 mata selepas menempuh lapan perlawanan. Sumber foto : Facebook JOHOR Southern Tigers

 

ISKANDAR PUTERI — Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan aksi kelas tersendiri dengan menewaskan Kedah Darul Aman FC 6-0 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

 

Juara bertahan Liga Super berada di hadapan pada minit ke-23 menerusi tampanan Fernando Forestieri yang menewaskan penjaga gawang pelawat.

 

Bermula aksi separuh masa kedua, skuad bimbingan Esteban Solari bermula garang seterusnya pemain pertahanan, Feroz Baharudin meledakkan jaringan kedua pasukan pada minit ke-48.

 

Selang dua minit kemudian, JDT meraih jaringan ketiga pasukan menerusi Oscar Arribas pada minit ke-50 sekali gus menghukum kealpaan Sang Kenari.

 

Persembahan garang Harimau Selatan diteruskan dengan jaringan keempat penyerang sensasi, Bergson da Silva yang mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-53.

 

Arif Aiman Hanapi tidak ketinggalan mencetak nama selaku penjaring hasil gerakan licik yang memperdaya penjaga gol lawan pada minit ke-76.

 

Jaringan keenam pasukan hadir menerusi pemain gantian, Leandro Velazquez hasil rembatan deras pada minit ke-86 sekali gus melengkapkan pesta gol Harimau Selatan di laman sendiri.

 

Kemenangan ke atas skuad kendalian Nafuzi Zain menyaksikan JDT terus mendominasi Liga Super 2023 dengan mengutip 24 mata selepas menempuh lapan perlawanan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor