JDT TERUS DOMINASI LIGA SUPER


Pemain sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) menghadiahkan ‘hatrick’ dalam perlawanan menentang Kelantan United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, di sini, hari ini | Foto Ihsan FB Johor Southern Tigers.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Kelantan United 6-0 dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

 

Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong, JDT tidak menunggu lama untuk berada di depan menerusi jaringan penyerang prolifik, Bergson da Silva pada minit ke-8.

 

Selang 14 minit kemudian, Fernando Forestieri pula cemerlang menyudahkan hantaran Endrick Dos Santos untuk memberi kelebihan dua gol buat Harimau Selatan.

 

Memasuki babak kedua, JDT menggandakan asakan dan menghukum kealpaan benteng pertahanan Kelantan United menerusi jaringan Bergson pada minit ke-61.

 

Bergson berjaya melengkapkan hatrik buat dirinya selepas menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil pada minit ke-69.

 

Leandro Velazquez turut mencetak nama selaku penjaring menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pada minit ke-76 untuk jaringan kelima pasukan.

 

Forestieri menyempurnakan malam gemilang JDT apabila meledakkan jaringan kedua peribadi dan keenam pasukan ketika perlawanan menuju ke wisel penamat.

 

Kemenangan 6-0 ke atas Kelantan United menyaksikan JDT terus mengukuhkan kedudukan di persada liga dengan 30 mata selepas mengharungi 10 perlawanan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor