CADANG KERJASAMA KRT DAN SKUAD COMBI TINGKAT KESEDARAN WABAK DENGGI – EXCO KESIHATAN


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon bersama pasukan KRT dan COMBI di PPR Melana, Mersing. | Foto ihsan Facebook AH SOON

 

ISKANDAR PUTERI — Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) disaran bekerjasama bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkenaan wabak denggi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mendapati taman permainan kanak-kanak merupakan antara tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan perumahan.

 

“Selain daripada usaha pihak berkuasa tempatan (PBT), orang awam juga perlu bertanggungjawab dan mendidik anak-anak supaya menjaga kemudahan awam dan tidak membuang sampah merata-rata.

 

“Saya juga mencadangkan agar pihak KRT dan COMBI dapat bekerjasama meningkatkan kesedaran dan mendidik orang awam mengenai wabak denggi,” tulisnya di laman Facebook.

 

Terdahulu, Tian Soon menghadiri program Johor Bersih di PPR Melana di Perling yang juga merupakan salah satu kawasan panas penyakit denggi di Johor.

 

“PPR ini didiami lebih daripada 1,100 keluarga dan terdapat empat kes denggi dilaporkan pada bulan lepas.

 

“Semoga inisiatif ini dapat meningkatkan kesedaran penduduk di sekitar PPR ini tentang kepentingan menjaga kebersihan rumah serta bertanggungjawab terhadap harta benda awam,” tambahnya.

 

Tambah Tian Soon, lima mangsa telah menjadi korban akibat denggi di Negeri Johor sehingga Mei tahun ini melibatkan empat kes di daerah Johor Bahru dan satu kes di daerah Kulai.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor