RISEUP RUN COMMUNITY SATUKAN KOMUNITI PELARI DI JOHOR


Inisiatif Unit Atlet dan Sains Sukan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) menganjurkan aktiviti larian itu bertujuan menghimpunkan masyarakat termasuklah kumpulan pelari di bawah satu komuniti.

 

ISKANDAR PUTERI — Penganjuran RiseUp Run Community setiap minggu di Puteri Harbour, di sini, berjaya mewujudkan komuniti terdiri daripada 200 pelari dari sekitar negeri ini, sejak diperkenalkan tahun lalu.

 

Inisiatif Unit Komunikasi Strategik Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dengan kerjasama The Cage, Unit Atlet dan Sains Sukan itu bertujuan menghimpunkan pengikut media sosial dan masyarakat termasuklah kumpulan pelari di bawah satu komuniti.

 

Ketua Jurulatih Suaian Fizikal MSNJ, Abdul Rahim Abdul Rauf berkata, menjadi hasrat pihaknya membentuk satu komuniti pelari selain memberikan pendedahan mengenai teknik larian yang betul.

 

“Kami sebenarnya nak bentuk satu komuniti di mana (kami) dapat menghimpunkan pelari di sekitar Johor. Tidak ada bayaran dikenakan.

 

“Sesiapa sahaja boleh sertai kami. Kita ada pelari dari pelajar sekolah rendah sehingga ke peringkat dewasa. Ada yang datang dari Pasir Gudang dan Bandar Penawar.

 

“Kita ajar mereka cara memanaskan badan sebelum larian, teknik-teknik larian, pemakanan sebelum dan selepas larian serta prosedur selepas larian,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Abdul Rahim yang lebih dikenali sebagai ‘Coach Bobo’ berkata, MSNJ juga merancang untuk menganjurkan pertandingan berkonsepkan liga bagi mewujudkan kelainan aktiviti.

 

“Ada perancangan untuk anjurkan Johor Run League di mana mereka berlari secara relay (berganti-ganti). Ia sebagai salah satu platform juga untuk mencari bakat dalam sukan seperti ini,” katanya.

 

Bagi Jorn Haron, 31, berkata, beliau pada awalnya hanya berlari secara suka-suka sebelum terpanggil untuk membentuk RiseUp Run Community.

 

“Saya bermula secara suka-suka. Lama kelamaan, semakin ramai yang ikut serta dan akhirnya kita dapat membentuk satu komuniti yang sihat di sini,” katanya.

 

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini, Alif Iskandar, 15, memberitahu telah meraih pengalaman dan ilmu yang tidak ternilai daripada penganjuran aktiviti itu.

 

“Saya seorang atlet olahraga di sekolah. Jadi, bila saya datang ke sini, saya telah didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan berkenaan sukan ini selain dapat menambah lebih ramai kenalan,” katanya.

 

RiseUp Run Community berlangsung dengan aktiviti larian selama 45 minit setiap malam pada hari Jumaat di sekitar Puteri Harbour.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor