AKTIVITI KORBAN HANYA DI TEMPAT DIBENARKAN


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pekeliling berserta borang permohonan kebenaran pelaksanaan ibadah berkenaan sempena Aidiladha tahun ini, telah diedarkan ke Pejabat Kadi Daerah. | FOTO MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Pelaksanaan ibadah korban dibenarkan untuk dilaksanakan di tempat dengan kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pekeliling berserta borang permohonan kebenaran pelaksanaan ibadah berkenaan sempena Aidiladha tahun ini, telah diedarkan ke Pejabat Kadi Daerah.

 

“Semua masyarakat perlu merujuk kepada garis panduan ini. Tidak semua masjid dan surau yang boleh melakukan aktiviti penyembelihan, hanya masjid surau yang ada kelengkapan dan kemudahan yang telah digazetkan sahaja dibenarkan.

 

“Tempat pelaksanaan ibadah korban hanya terhad kepada rumah sembelihan berdaftar dan kawasan masjid serta surau yang mempunyai kemudahan penyembelihan ibadah korban,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas program Multaqa Guru-Guru Al-Quran Bersama Johan Qari Qariah Antarabangsa Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini, hari ini.

 

Mohd Fared berkata, lokasi yang tidak mendapat kebenaran adalah dilarang untuk melaksanakan ibadah korban kecuali bagi kerja memotong, menimbang dan mengagihkan daging sahaja.

 

“Begitu juga orang kampung dan taman perumahan, melapah sahaja di rumah masing masing. Tapi penyembelihan di tempat yang dibenarkan sahaja. Ini bagi tujuan keselamatan dan kesihatan semua,” katanya.

 

Beliau turut menyarankan untuk merujuk Pejabat Kadi Daerah bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan pelaksanaan dan permohonan ibadah korban di negeri ini.

 

Pekeliling Bilangan 1 Tahun 2023 JAINJ (Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau) mengenai Pelaksanaan Ibadah Korban 1444H Negeri Johor, menggariskan pelaksanaan hanya terhad di rumah sembelihan berdaftar serta kawasan masjid dan surau yang mempunyai kemudahan penyembelihan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor