FOOD TAIPEI MEGA SHOWS 2023 : USAHAWAN JOHOR RAIH NILAI TAMBAH
ISKANDAR PUTERI — Kunjungan usahawan dari Johor ke Food Taipei Mega Shows 2023 di Taiwan diyakini menjadi platform nilai tambah bagi perusahaan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah percaya kumpulan usahawan terbabit meraih manfaat daripada lawatan ke pameran itu.
“Saya melihat usahawan-usahawan Johor yang terlibat dalam Food Taipei Mega Shows 2023 ini dapat mengambil ruang dan peluang selain dapat mengadaptasi perubahan perniagaan ke arah lebih berteknologi serta berdaya saing sehingga ke peringkat global,” katanya pada Rabu.
Terdahulu, beliau mengetuai delegasi Johor ke penganjuran Food Taipei Mega Shows 2023 yang diadakan di Taipei Nangang Exhibition Center Hall di Taiwan.
Mohd Hairi berkata, penganjuran Food Taipei Mega Shows kali ini, melibatkan 1,498 pempamer dari 31 negara menerusi 4,118 gerai pameran disediakan.
Ujarnya, pameran dipecahkan kepada dua bahagian iaitu produk-produk makanan, minuman dan sejuk beku serta manakala teknologi pelabelan, pembungkusan, peralatan dan mesin.
“Apa yang menarik perhatian saya ialah teknologi-teknologi terkini terutama peralatan serta mesin yang dipamerkan sememangnya ke arah Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 di mana semakin kurang tenaga kerja manusia digunakan, sebaliknya menggunakan sepenuhnya teknologi termasuk teknologi kecerdasan buatan atau AI,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor