UTHM PUPUK KESEDARAN ALAM MARIN DALAM KALANGAN PELAJAR


 

Program khidmat sosial sempena ‘Hari Laut Sedunia’ anjuran Kelab Pengurusan Teknologi (TMB) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu disertai seramai 157 pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) sebagai usaha memulih dan memelihara kebersihan kawasan persisir pantai. | Foto ihsan UTHM


ISKANDAR PUTERI —
Kira-kira dua tan sampah berjaya dikutip menerusi Program Kesedaran Alam Marin:’Global Beach Clean Up’ yang dilaksanakan di Pulau Mawar, Mersing, baru-baru ini.

 

Program khidmat sosial sempena ‘Hari Laut Sedunia’ anjuran Kelab Pengurusan Teknologi (TMB) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu disertai seramai 157 pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) sebagai usaha memulih dan memelihara kebersihan kawasan persisir pantai.

 

Dekan FPTP, Profesor Madya. Dr. Shafie Mohamad Zabri, berkata pelaksanaan program itu dapat secara tidak langsung menyediakan peserta dengan pengetahuan, kemahiran dan motivasi untuk memahami dan menangani cabaran SDG#14 iaitu ‘Life Below Water’ dan SDG#15 iaitu ‘Life Below Island’.

 

“Saya berharap program seumpama itu dapat meningkatkan lagi kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap penjagaan ekosistem laut pada masa kini supaya kelestariannya dapat dirasai untuk generasi akan datang,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Bahagian LEGOLAND Malaysia Resort, C S Lim menyifatkan aktiviti pembersihan pantai sebagai usaha penting mengekalkan Pulau Mawar sebagai sebuah destinasi pelancongan yang sentiasa dikunjungi ramai.

 

“Pelancong akan tertarik untuk datang ke sini jika pantainya cantik dan bersih. Justeru, kita sangat mengharapkan masyarakat setempat lebih peka dengan keadaan ini terutama apabila datang berkelah ke pantai mahupun pulau, pastikan sampah tidak dibuang merata-rata,” katanya.

 

Selain aktiviti membersihkan persekitaran pantai, program itu turut diisi dengan sesi ‘Conservation Talk & Awareness’ oleh Pensyarah FPTP, Dr. Indera Syahrul Mat Radzuan dan Mohd Alzam Mohd Affandy yang berkongsi mengenai isu ‘Pencemaran Plastik dan Ancamannya terhadap Hidupan dan Ekosistem Marin di Mersing’.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor