JOHOR BERPOTENSI MENJADI HAB AI : MENTERI BESAR JOHOR


Menteri Besar Johor mempengerusikan mesyuarat bersama delegasi syarikat AirTrunk, semalam. | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Johor berpotensi menjadi hab kecerdasan buatan (AI) di rantau ini, sekiranya mempunyai strategi yang tepat bagi merealisasikan impian tersebut.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu menjadi antara intipati perbincangan bersama syarikat pusat data berskala besar Asia Pasifik dan Jepun, AirTrunk.

 

“Untuk makluman, AirTrunk sebelum ini telah menzahirkan kesediaannya untuk membangunkan pusat data 150+ megawatt (MW) di Malaysia.

 

“Pusat yang dinamakan AirTrunk JHB1 itu akan menjadi yang pertama di Malaysia, menjadikan platform pusat datanya berkapasiti melebihi 1.6 gigawatt (GW) merentasi Asia Pasifik,” kata beliau di Facebook rasminya, pada Rabu.

 

Terdahulu, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama delegasi syarikat AirTrunk diketuai oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Robin Khuda.

 

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Ketua Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirTrunk, Michael Juniper.

 

Selain itu, Onn Hafiz menzahirkan harapan yang positif terhadap perancangan strategi antara Kerajaan Negeri bersama AirTrunk sekali gus menjayakan impian Maju Johor.

 

“Semoga segala strategi yang dirancang antara Kerajaan Negeri dan AirTrunk mampu membuahkan hasil dan memberi limpahan ekonomi, bagi merealisasikan hasrat Negeri Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor