JOHOR DI LANDASAN TEPAT KE ARAH NEGERI MAJU MENJELANG 2030


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hasrat tersebut boleh dicapai secara bersama dengan penyertaan lebih ramai pemain industri di negeri ini. | Foto ihsan FB Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Negeri Johor kini berada di landasan tepat untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hasrat tersebut boleh dicapai secara bersama dengan penyertaan lebih ramai pemain industri di negeri ini.

 

“Kerajaan Negeri juga akan terus bekerjasama menyediakan ruang ekonomi yang berdaya maju selain bersedia meneroka beberapa industri dan teknologi baharu.

 

“Hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 mampu digapai bersama, dengan penyertaan lebih ramai pemain industri untuk mengembangkan lagi sayap perniagaan di Johor, dan saya menyeru agar kita dapat bulatkan tekad untuk memastikan hasrat ini direalisasikan,” katanya dalam laman Facebook rasminya, pada Sabtu.

 

Terdahulu, Onn Hafiz telah mengadakan pertemuan bersama 18 rakan pelabur dari pelbagai sektor dan industri dalam rangka lawatan kerja selama tiga harinya ke Singapura.

 

Beliau turut berkeyakinan Johor mampu meneruskan prestasi pelaburan terbaik yang dicatatkan pada tahun lalu dengan nilai RM70.6 bilion.

 

“Ia mampu diteruskan bagi tahun 2023, disokong dengan pencapaian yang mencatatkan nilai RM10.6 bilion jumlah pelaburan yang diluluskan untuk suku pertama (Q1) bagi tahun 2023,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor