JPEX 2023 CATAT HAMPIR RM1 BILION NILAI URUS NIAGA


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, nilai tersebut merangkumi jualan rumah mampu milik, kediaman lot Bumiputera dan pasaran bebas, pembiayaan bank serta peniaga makanan. | Foto MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2023 berjaya merekodkan nilai urus niaga hampir RM1 bilion sepanjang empat hari penganjurannya.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor berkata, nilai tersebut merangkumi jualan rumah mampu milik, kediaman lot Bumiputera dan pasaran bebas, pembiayaan bank serta peniaga makanan.

 

“Nilai ekspo kali ini menghampiri RM1 bilion. Jumlah jualan lot Bumiputera dan pasaran bebas pula mencatatkan RM536 juta manakala penjualan rumah mampu milik (iaitu) RM160.6 juta dan yang lain-lain.

 

“Penjualan lot Bumiputera dan pasaran bebas sebanyak 1,043 unit membabitkan 45 pemaju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ekspo Hartanah Johor 2023 di Angsana Johor Bahru Mall, pada Ahad.

 

Terdahulu, Mohd Jafni menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Rumah Kasih Johor dan J-Home One Stop Centre Rumah Mampu Milik Jenis C, Rumah Bandar Idaman Putra, Kulai.

 

Tambah Mohd Jafni, permohonan bagi empat Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang baru dilancarkan pada ekspo berkenaan turut mendapat sambutan menggalakkan.

 

“726 unit, (bernilai) RM77 juta. Baru dua hari iklan, permohonan sudah ada lebih 1,000 orang yang mohon.

 

“Ada lagi 15 pemaju akan tambah 3,000 unit dengan kos keseluruhan RM300 juta dalam tempoh lima tahun ke depan,” tambahnya.

 

Beliau juga memaklumkan penganjuran Ekspo Hartanah Johor 2023 mencatatkan jumlah pengunjung hampir 70,000 orang melepasi sasaran 50,000 orang yang ditetapkan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor