FARMBYTE, ARCHISEN JALIN KERJASAMA PERKASA SEKTOR PERTANIAN DI JOHOR
JOHOR BAHRU — FarmByte Sdn. Bhd. (FarmByte), syarikat di bawah Kumpulan Johor Corporation (JCorp) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Arhcisen Pte. Ltd. dari Singapura bagi memperkasa sektor pertanian di negeri ini.
MoU tersebut ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif FarmByte, Syed Aiman Kifli Syed Jaafar dan rakan sejawat dari Archisen, Vincent Wei yang disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Syed Aiman Kifli berkata, kerjasama tersebut bakal menyaksikan FarmByte akan dibantu Archisen dari segi kepakaran teknologi pertanian menegak.
“FarmByte pula akan menyediakan infrastuktur pertanian dan kemahiran mendalam terutamanya melibatkan pertanian tempatan.
“Archisen akan membantu dari segi melatih tenaga kerja FarmByte selain memastikan kita menggunakan teknologi terkini dalam pertanian secara menegak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani MoU antara Farmbyte dan Archisen, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau memberitahu FarmByte juga menyasarkan untuk memodenkan sektor agromakanan selain meningkatkan nilai dan kualiti tanaman.
“Kami menyokong inisiatif para petani yang sudah mula mendigitalisasikan tanaman mereka dengan teknologi terkini selain melakukan inovasi terhadap kaedah penanaman untuk mengukuhkan sektor agromakanan kita,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ Salehuddin Hassan.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor