KEJOHANAN JUDO REMAJA KEBANGSAAN KE-26 TUTUP TIRAI


Setiausaha Kehormat Persatuan Judo Negeri Johor, Iddie Rafizal, semasa ditemu bual Media Digital Johor, semalam. | Foto MDJ Mohamad Hafez Azhar

 

JOHOR BAHRU — Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan Ke-26 Tahun 2023 berlangsung di Plaza Pelangi, di sini, menutup tirainya dengan kontinjen Terengganu merangkul gelaran juara.

 

Penganjuran kali ini menyaksikan Negeri Johor diberikan penghormatan selaku tuan rumah bagi acara yang menghimpunkan kontinjen negeri-negeri.

 

Berlangsung selama dua hari, kejohanan berkenaan menyaksikan penyertaan kira-kira 500 atlet sukan tempur itu yang mewakili 17 pasukan dari seluruh negara.

 

Manakala, pasukan judo negeri Johor menghantar penyertaan 108 atlet dalam kejohanan pada 19 dan 20 Ogos lalu.

 

Setiausaha Kehormat Persatuan Judo Negeri Johor, Iddie Rafizal berkata, setakat ini, penubuhan persatuan judo di setiap daerah telah diwujudkan.

 

Menurutnya, terdapat juga penubuhan persatuan itu di peringkat sekolah atas sokongan dan dukungan Majlis Sukan Negeri Johor menerusi program ‘Rise Up Gold’.

 

“Jika ada program seperti ini dapat menarik minat kanak-kanak sejak mereka kecil lagi. Antara inisiatif lain dengan mempromosikan sukan judo di sekolah untuk mencari bakat baru.

 

“Persatuan judo memerlukan peralatan asas seperti ‘Tamame’ iaitu tilam judo. Hal ini kerana, kos pembelian tilam judo agak mahal.

 

“Sukan judo tidak sama dengan taekwando yang hanya menggunakan lantai sahaja ketika perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan Ke-26 Tahun 2023.

 

Iddie Rafizal berkata, pasukan Judo Negeri Johor kini berada dalam kedudukan yang rapat bersama negeri lain malah ingin menjadi pesaing utama dalam sukan judo di negara ini.

 

“Merancang untuk menambah persatuan Judo dan kelab-kelab di daerah, dengan ini akan mendapat jumlah atlet yang ramai untuk fokus kepada sukan SUKMA terutama di peringkat kebangsaan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas