‘AH SOON’ TERUSKAN TEKAD MAJUKAN YONG PENG


EXCO Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor merangkap ADUN Yong Peng, Ling Tian Soon membentangkan kad laporan DUN Yong Peng Tahun 2022 | Sumber Facebook Ah Soon.

 

ISKANDAR PUTERI — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon menyatakan rasa penghargaan terhadap sokongan diberikan oleh warga Yong Peng terhadap beliau.

 

Beliau yang juga EXCO Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor terus bertekad untuk memajukan Yong Peng selaras dengan manifestonya.

 

“Sudah sembilan bulan saya menjadi ADUN Yong Peng. Kami masih menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dan berikhtiar memajukan Yong Peng.

 

“Terima kasih atas kepercayaan orang Yong Peng kepada saya untuk menjadi ADUN Yong Peng pada 12 Mac yang lalu.

 

“Manifesto saya merupakan ‘Meningkatkan Kualiti Hidup Yong Peng’ dan saya telah berjanji pada diri saya bahawa saya akan berusaha membangunkan Yong Peng dalam meningkatkan kualiti hidup,” tulisnya menerusi hantaran dimuat naik dalam Facebook rasminya, semalam.

 

Wakil rakyat yang mesra dikenali Ah Soon turut menggariskan lima ikhtiar dalam manifestonya untuk warga Yong Peng.

 

“Pertama, Infrastruktur asas Yong Peng perlu dinaiktaraf terutamanya Jalan Utama Yong Peng serta sistem perparitan kawasan hotspot banjir kilat.

 

“Kedua, warga emas dan penduduk kampung di Yong Peng sering menyuarakan bahawa kekurangan taman dan kemudahan rekreasi di Yong Peng.

 

“Ketiga, mempelbagaikan lagi aktiviti komersial dan perniagaan di Yong Peng yang dapat memanfaatkan penduduk tempatan. Keempat, merancakkan sektor pelancongan serta pertanian.

 

“Kelima, membawa agensi dan pejabat kerajaan ke Yong Peng secara berperingkat, bagi memudahkan urusan penduduk,” tulisnya.

 

Beliau memberitahu tidak pernah mengabaikan janji yang dibuat dan terus berusaha merealisasikan manifesto sebaik sahaja dipilih sebagai wakil rakyat.

 

“Terima kasih atas sokongan anda semua, marilah kita bersama maju ke masa hadapan yang lebih cerah,” tulis.

 

Dalam hantaran tersebut, Ah Soon turut memuat naik kad laporan DUN Yong bagi tahun 2022.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor