TIADA KES JANGKITAN NAEGLERIA FOWLERI SETAKAT INI


Ameba Naegleria Fowleri yang boleh menyebabkan kerosakan otak / Gambar Ihsan Times Of India.

 

ISKANDAR PUTERI — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga kini mendapati tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri dilaporkan berlaku di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagaimanapun rakyat di negara ini dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya terutama ketika melakukan aktiviti berkaitan air tawar.

Katanya, antara langkah yang perlu diambil ialah mengelakkan daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai berikutan ia adalah habitat semulajadi ameba.

“Elakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air tersebut mungkin dicemari ameba yang boleh memasuki rongga hidung secara terus.

“Orang ramai juga perlu mencuci badan dengan air terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air dan segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher (neck stiffness) secara tiba-tiba terutama selepas melakukan aktiviti di dalam air,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media berkaitan isu jangkitan Naegleria Fowleri yang menjangkiti seorang lelaki warga Korea Selatan sehingga menyebabkan kematian baru-baru ini.

Dalam kenyataan media sama, Noor Hisham berkata, KKM akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri di dalam dan luar negeri dari masa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, KKM juga komited dalam memberikan informasi yang tepat dan responsif sekiranya terdapat perkembangan terbaharu berkaitan penyakit berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mengesahkan seorang lelaki warga negara itu disahkan meninggal dunia pada 21 Disember lalu selepas dijangkiti ameba Naegleria Fowleri.

Lelaki berkenaan dilaporkan telah menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke Korea Selatan pada 10 Disember lalu.

Naegleria Fowleri adalah ameba termofilik atau juga dikenali sebagai organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutama dalam habitan air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas dan juga di dalam tanah.

Ia juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana keupayaannya menyebabkan kerosakan pada otak menerusi jangkitan sistem saraf tunjang dan boleh memasuki badan manusia melalui hidung ketika aktiviti berkaitan air tawar.

Ameba Naegleria Fowleri ini juga boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM) yang boleh membawa maut.

Selain simptom sakit kepala, demam, loya atau muntah, gejala lebih serius seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran persekitaran sekeliling, sawan, halusinasi dan koma juga boleh berlaku pada diri pesakit.

Kebiasaannya gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan dan boleh muncul seawal satu hari atau selewatnya 12 hari selepas dijangkiti dengan kondisi pesakit boleh bertambah teruk dengan cepat hingga boleh menyebabkan kematian.

Rawatan bagi penyakit ini adalah dengan pemberian gabungan ubatan, namun rawatan adalah sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit ini berlaku dengan sangat pantas.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor