AMARAN BANJIR DI MERSING ESOK


Amaran banjir negeri Johor membabitkan daerah Mersing yang dikeluarkan oleh Pusat Ramalan dan Banjir Negara (PRABN) / Gambar Ihsan Jabatan Pengairan dan Saliran.

 

ISKANDAR PUTERI — Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) sebentar tadi mengeluarkan amaran banjir bagi negeri Johor membabitkan daerah Mersing.

Amaran banjir yang dikeluarkan pada jam 5.30 petang itu adalah susulan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini berdasarkan simulasi model ramalan banjir.

JPS Malaysia meramalkan kejadian banjir boleh berlaku di beberapa lokasi di daerah Mersing sekiranya hujan yang signifikan terus melanda negeri Johor.

Antara kawasan yang diramalkan dilanda banjir ialah Sungai Melikai, Kampung Jemari dan Pengkalan Batu yang terletak di daerah Mersing dijangka bermula dari jam 8 pagi hingga 11 malam esok.

Turut menerima risiko banjir ialah perkampungan yang terletak berhampiran dengan ketiga-tiga kawasan berkenaan berikutan ia terletak di dalam lembangan Sungai Mersing.

JPS dalam kenyataannya juga menegaskan banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tempoh jangkaan dan amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir membuat persediaan awal.

Penduduk di lokasi amaran banjir juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor