KERAJAAN JOHOR PANTAU SITUASI BANJIR DEMI KESELAMATAN RAKYAT


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyampaikan sumbangan SV Box kepada mangsa banjir di PPS | Sumber Facebook Onn Hafiz Ghazi.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor akan terus memantau perkembangan situasi banjir di negeri ini, terutama melibatkan kawasan yang dinaiki air.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keselamatan rakyat menjadi keutamaan kerajaan negeri pimpinannya dan tindakan terbaik akan dilakukan bagi memastikan keadaan kekal terkawal pada setiap masa.

 

“Saya akan memantau operasi agensi yang terlibat khususnya Pejabat Daerah selaku penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, bagi memastikan keselamatan rakyat terus terjaga, biarpun dalam keadaan seperti ini,” katanya dalam Facebook rasminya, hari ini.

 

Terdahulu, beliau bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia & Kesukarelawanan), Dato’ On Jabbar menyantuni mangsa banjir di PPS Kampung Baru Sungai Mas dekat Kota Tinggi dan menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri.

 

“Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah menitahkan supaya Southern Volunteers digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa daerah di negeri Johor. Semoga bantuan ini dapat meringankan sedikit beban keluarga dan mangsa yang diuji ketika ini,” katanya.

 

Selain itu, Onn Hafiz merakamkan penghargaan kepada barisan EXCO Kerajaan Johor yang telah turun padang melawat mangsa banjir di PPS selain berterima kasih ke atas sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, pasukan keselamatan, agensi dan jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta pemimpin setempat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor